Sabtu, 24 Disember 2011

KEWAJIPAN MENYAMPAIKAN ILMU

WAJIB MENYAMPAIKAN ILMU AGAMA DAN KELEBIHANNYA

Firman Allah Taala, maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan pertunjuk hidayat, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam kitab suci,  mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. " (159, Surah Al-Baqarah).
"Dan (ingatlah!) ketika Allah mengambil perjanjian setia daripada orang-orang yang telah diberikan kitab, iaitu: Demi sesungguhnya hendaklah kamu menerangkan isi kitab itu kepada umat manusia dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya .." (187, Surah Ali Imran).
Hadis Kedua Puluh Tujuh
27- عَنْ أَبِي بَكْرَةَ عَنْ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِيُبَلِّغ الشَّاهِدُ الْغَائِبَ فَإِنَّ الشَّاهِدَ عَسَى أَنْ يُبَلِّغَ مَنْ هُوَ أَوْعَى لَهُ مِنْهُ. (البخاري ومسلم)
27 - Dari Abi Bakrah r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Hendaklah orang yang hadir (mendengar hadis ku) menyampaikannya kepada orang-orang tidak hadir kerana sesungguhnya diharap orang yang disampaikan hadis itu kepadanya lebih hafaz dan lebih faham daripada yang menyampaikannya.
(Bukhari dan Muslim)
Hadis yang kedua puluh tujuh ini menerangkan bahawa:
(1) Soal menyampaikan ilmu agama adalah menjadi tugas kepada setiap orang yang mengetahuinya.
(2) Orang yang disampaikan kepadanya sesuatu ilmu agama,  boleh jadi ia lebih faham dari orang yang menyampaikannya.
Huraiannya:
1 - Soal menyampaikan ilmu agama: 
Agama Islam adalah agama untuk seluruh umat manusia dan segala bangsa dan dalam setiap masa,  turun temurun hingga hari qiamat. Untuk meneruskan perkembangan Islam dalam segala tempat dan segala zaman itu, Nabi Muhammad s.a.w. , meninggalkan pesannya yang berupa perintah supaya tiap-tiap orang yang mendengar hadis Baginda dan ajaran-ajaran yang dibawanya, menyampaikannya kepada orang yang belum mendengarnya.
Dengan itu nyatalah bahawa tugas menyampaikan sesuatu hadis atau sesuatu hukum agama bukanlah tertentu kepada seseorang dengan jalan dilantik, tetapi dengan sendirinya menjadi kewajipan sesiapa jua yang menghadiri mana-mana majlis pelajaran agama, atau hadis Nabi,  atau hukum-hukum Islam,  menyampaikannya kepada orang-orang yang tidak hadir bersama,  dengan sungguh-sungguh jujur dan amanah. 
Demikianlah seterusnya dari seorang kepada yang lain, masing-masing menjalankan tugas menyampaikan ajaran-ajaran Islam,  walaupun orang yang menyampaikan itu sendiri tidak begitu faham akan maksud hadis atau hukum yang hendak disampaikannya itu.
2 - Kewajipan orang yang disampaikan kepadanya sesuatu ilmu agama:
Orang yang disampaikan kepadanya pelajaran itu, wajib menerimanya. Tentang soal memahami maksud hadis atau hukum yang diterimanya, maka ia tidaklah terikat dengan fahaman orang yang menyampaikannya, bahkan ia boleh menyatakan fahamannya dengan berdasarkan kaedah yang tertentu dalam ilmu agama.
Pendeknya orang yang menyampaikan sesuatu hadis atau sesuatu ilmu agama dan Rasulullah s.a.w. boleh diterima daripadanya walaupun orang itu tidak begitu faham akan hadis atau ilmu yang disampaikannya; dan ia akan beroleh pahala dengan usaha penyampaiannya itu serta dikira dan golongan ahli agama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan